Monday 31 December 2012

Perutusan 2013

18 Safar 1434H, 1 Januari 2013.

 

PERUTUSAN TAHUN 2013

 

 

BERAKHIRNYA 2012 memberi kesan amat siknifikan kepada perjuangan meletakkan agenda OKU sebagai agenda yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan masyarakat termasuklah pimpinan politik.

 

Di peringkat antarabangsa, penghujung 2012 genaplah 6 tahun Konvensyen Bagi Hak-Hak Orang Kurang Upaya “CRPD” diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu “PBB”. Manakala di peringkat domestic pula, penghujung 2012 juga menggenapkan 5 tahun Akta OKU 2008 dibentang dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia.

 

Terhasilnya CRPD di peringkat antarabangsa dan Akta 2008 di tanah air adalah suatu komitmen system perundangan global kepada corak pembangunan OKU yang berganjak dari pembangunan berasaskan simpati dan kesihatan kepada pembangunan yang berasaskan hak.

 

Secara atas kertas dan ucapan, pembangunan OKU berasaskan hak mudah difahami dan dimengertikan. Namun tiba waktu perlaksanaan, ia penuh liku dan cabaran yang tidak mudah didepani.

 

Kesediaan seluruh agensi kerajaan sebagai pemacu utama kepada kesejahteraan rakyat menterjemahkan aspirasi hak pembangunan kepada OKU masih meletakkan individu-individu OKU ternanti-nanti apakah yang dapat kami rasai. Lihat saja pada agensi utama yang dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan OKU di Malaysia iaini Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia “JKMM”.

 

Meskipun JKMM dibantu secara pentadbiran oleh Jabatan Pembangunan OKU “JPOKU” di dalamnya, masih melata rintihan-rintihan OKU atau keluarga yang menjaga terhadap keberkesanan system penyerahan yang dilaksanakan oleh JKMM. Pujian boleh dipanjangkan kepada pejabat-pejabat JKMM negeri-negeri dalam menangani isu-isu OKU. Namun ia jarang sekali berlaku di peringkat daerah.

 

Walhal pejabat daerah merupakan tempat utama yang perlu didatangi OKU bagi melunaskan sebarang isu dan persoalan yang berkaitan. Contoh terkini ialah pengeluaran kad OKU yang baru.

 

Jika 3 Disember 2012 kerajaan telah mengisytiharkan perlaksanaan Sistem Maklumat OKU “SMOKU”, apakah seluruh pegawai terlibat faham pentingnya SMOKU bilamana pengeluaran kad OKU yang baru masih banyak yang belum diselesaikan?

 

Tiadanya kad OKU antara lainnya telah menjejaskan banyak urusan OKU dan keluarga terutamanya dalam usaha mendapatkan pendidikan yang paling asas.

 

Justeru selaku wakil kepada 4.2 juta jumlah OKU yang dianggarkan di Malaysia, saya benar-benar berharap agar 2013 menjadi titik perubahan yang lebih besar kepada pembangunan OKU yang menyeluruh di Malaysia. Kepada seluruh jentera kerajaan, saya merayu dan berharap agar tanganilah setiap isu melibatkan OKU dengan penuh rasa keinsafan bahawa kecacatan pada OKU adalah ciptaan Allah yang maha esa.

 

Mahu tidak mahu, kerajaan adalah nadi utama dalam menghasilkan kehidupan sejahtera untuk benar-benar dirasai oleh OKU dan keluarga. – 18 Safar 1434H.

 

(Mohammad Faizal Che Yusof)

Wednesday 26 December 2012

Bengkel pengukuhan hak-hak OKU.

PENGUMUMAN.

 

Suatu bengkel pengukuhan Akta OKU 2008 dan hak-hak OKU dalam perundangan Malaysia akan dianjurkan oleh Kuala Lumpur Young Lawyers Committee - Public Interest Litigation Unit (KLYLC-PILU).

 

Objektif utama bengkel ini bertujuan memperhebatkan lagi advokasi hak-hak OKU melalui mahkamah dan media-media.

 

Suatu perbincangan strategic akan diadakan bagi mengenalpasti kes-kes yang sesuai untuk difailkan di mahkamah bagi memperkukuhkan hak-hak OKU sebagaimana peruntukan Akta OKU 2008.

 

Semua pihak termasuk OKU dan sesiapa yang terlibat adalah dialu-alukan untuk menghadiri DAN MENYERTAI bengkel ini.

 

Berikut butiran bengkel yang akan diadakan:

 

Tarikh; 5 January 2013

Masa: 9.45 a.m. hingga 2.00 p.m.

Tempat: Auditorium Raja Abdul Aziz Addrusse, Majlis Peguam Malaysia, No. 13, 15 & 17, Leboh Pasar Besar, 50050 Kuala Lumpur, Malaysia.

 

Sekian, harap maklum.

 

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF

PENGGERAK KEMPEN OKU BANGKIT

Monday 24 December 2012

Lagi gema kempen OKU Bangkit 2012

DISIARKAN kenyataan media oleh Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU dalam menyokong dan mendokong kempen OKU Bangkit 2012.

 

11 Safar 1434H, 25 Disember 2012.

 

KENYATAAN MEDIA SEKRETARIAT PRIHATIN OKU

 

Kami memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T dengan penganjuran Majlis Konvensyen & Dialog Interaktif Orang Kurang Upaya (OKU) 2012 pada 24 Disember kelmarin.

 

Sekalung tahniah dipanjatkan kepada eksko kerajaan negeri Selangor, Y.B. Rodziah Ismail Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor yang memungkinkan berjayanya Majlis Konvensyen tersebut diadakan.

 

Program yang diadakan di Dewan Ballroom Dewan Jubli Perak, Shah Alam Selangor tersebut pastinya menjadi titik penting kepada penerusan usaha-usaha kumpulan aktivis OKU kea rah mencetuskan perancangan dan perlaksaan program pembangunan OKU yang menyeluruh di Malaysia.

 

Apatah lagi penganjuran tersebut suatu kesinambungan daripada program-program terdahulu oleh penggerak-penggerak OKU termasuklah Persidangan OKU Darul Naim pada 13 Mac 2012 di Kota Bharu Kelantan, yang lalu.

 

Sebagai mendokong aspirasi OKU, pihak Sekretariat Prihatin OKU menyokong penuh resolusi yang telah dikeluarkan sempena penganjuran Majlis Konvensyen tersebut. Diperturunkan resolusi yang telah dikemukakan sebagaimana berikut:

 

Resolusi Konvensyen OKU Selangor 2012

1. Penambahbaikan Aksesabiliti OKU.

2. Menguatkuasakan parking OKU.

3. Rekabentuk rumah utuk OKU diberi penambahbaikkan.

4. Mewujudkan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan OKU di peringkat negeri.

5. Menaiktaraf sistem pendidikan OKU di peringkat negeri.

6. Menggalakkan kempen jom daftar oku mulai 2013.

 

Kesediaan kerajaan Selangor yang telah Berjaya mengadakan Majlis Konvensyen tersebut adalah satu lagi menifestasi akan kesediaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat mendengar dan menerima pembabitan OKU dalam memastikan wujudnya pembangunan OKU yang sempurna di Malaysia.

 

Kami iltizam menyatakan bahawa OKU bukan sekadar perlukan bantuan dan subsidi. Apa yang lebih utama ialah mewujudkan masyarakat yang bersifat inklusif kepada semua termasuk OKU.

 

Sekian, untuk siaran.

 

 

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF

PENGERUSI SEKRETARIAT PRIHATIN OKU

LUJNAH KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN PAS

Friday 7 September 2012

Hasihin terlepas skim imbuhan tetap - KENYATAAN MEDIA



Tarikh: 20 Syawal 1433H, 7 September 2012.

KENYATAAN MEDIA

Ekoran dari respon oleh Yang Berhormat Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berikutan desakan agar layanan samarata diberikan kepada atlet paralimpik,selaku mewakili seluruh Orang Kurang Upaya “OKU” umumnya dan atlet-atlet paralimpik Negara khususnya, adalah saya dengan ini menyatakan sebagaimana berikut:

Kenyataan YB Menteri tersebut telah begitu mengguris hati OKU di Negara ini dengan kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik. Diperturunkan kenyataan beliau yang pada pandangan kami dibuat secara tidak berhati-hati yang telah dimuatkan di pelbagai media massa hari ini:

"Perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan," tambahnya.

Kata-kata YB Menteri tersebut selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa, ia sekaligus memperkecilkan sumbangan yang diberikan oleh atlet-atlet paralimpik Negara.

Pihak kerajaan dan YB Menteri tentunya sedar sukan paralimpik adalah sukan terbesar dunia yang melibatkan Orang Kurang Upaya dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.

Thursday 2 August 2012

KENYATAAN MEDIA - 14 Ramadhan 1433H, 2 Ogos 2012.

Tarikh: 14 Ramadhan 1433H, 2 Ogos 2012.

KENYATAAN MEDIA

Saya amat cakna kepada isu yang dibabitkan kepada OKU terutamanya OKU penglihatan dalam Kempen Henti Memberi kami Prihatin yang dilancarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebagai mewakili warga Negara yang dikatagorikan sebagai OKU umumnya dan OKU penglihatan khususnya, saya membantah cara dan pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menangani penguatkuasaan Akta Orang Papa 1977 dengan penahanan individu-individu OKU penglihatan di Kuala Lumpur pada hari ini, Khamis 2 Ogos 2012.

Saya menyatakan bahawa golongan OKU penglihatan yang menjalani aktiviti menjaja bebas yang didakwa sebagai pengemis telah diberi salah tanggapan melalui kempen yang dijalankan dan penguatkuasaan Akta Orang Papa 1977.

Saya menyeru seluruh pihak termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, jentera-jentera kerajaan, pihak swasta dan seluruh masyarakat untuk benar-benar faham apa yang dinyatakan dalam muqadimah Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang diperturunkan di bawah:

- MENGIKTIRAF bahawa ketidakupayaan merupakan suatu konsep yang sentiasa berkembang dan bahawa ketidakupayaan terhasil daripada interaksi antara rang kurang upaya dengan halangan sikap dan persekitaran yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan dengan orang upaya:

- MENGIKTIRAF sumbangan sedia ada dan berpotensi yang bernilai yang dibuat oleh orang kurang upaya kepada kesejahteraan dan kepelbagaian komuniti dan masyarakat keseluruhannya:

- MENGIKTIRAF kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan, kepada kesihatan dan pendidikan serta kepada maklumat dan komunikasi, bagi membolehkan penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:

- MENGIKTIRAF bahawa orang kurang upaya adalah berhak kepada peluang dan perlindungan, serta bantuan sama rata dalam segala hal keadaan dan tertakluk hanya kepada apa-apa batasan, sekatan dan perlindungan hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan: Undang-Undang Malaysia AKTA 685

- MENGIKTIRAF kepentingan kerjasama antara Kerajaan dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan penyertaan dan penglibatan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalarn masyarakat:

Saya seterusnya menggesa untuk peruntukan berkaitan pekerjaan dan perniagaan diberi perhatian Sirius oleh semua pihak yang Saya perturunkan di bawah:

Akses kepada pekerjaan

Seksyen 29. (1) Orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya.

(4) Majlis hendaklah, bagi menggalakkan pengambilan kerja orang kurang upaya dalam sektor swasta, merumuskan dasar dan langkah yang sesuai yang boleh termasuk program tindakan afirmatif dan langkah lain.

(5) Majlis hendaklah menggalakkan peluang bagi latihan kepada orang kurang upaya dalam pasaran buruh dan juga peluang untuk bekerja sendiri, keusahawanan, pembangunan koperasi, memulakan perniagaan sendiri dan mewujudkan peluang bekerja dan rumah.

Justeru Saya menyeru langkah-langkah berikut diambil perhatian:

i) Suatu jaminan untuk OKU penglihatan yang menjalani aktiviti penjaja bebas diberi peluang pekerjaan atau perniagaan yang mampu menyara kehidupan sehari-harian.
ii)Suatu perancangan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh dimulakan untuk dilaksanakan.
ii) Telah tiba masanya pembangunan OKU kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana menteri supaya program yang dirancang tidak terputus dan salin melengkapi.

Saya juga menegaskan bahawa saya amat menyokong langkah kerajaan dalam membasmi kegiatan pengemisan sebenar yang begitu berleluasa di kalangan pendatang-pendatang asing sama ada secara sah atau sebaliknya. Peruntukan Akta Orang Papa 1977 tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya terhadap OKU umumnya dan OKU penglihatan khususnya dengan alas an penguatkuasaan.

(MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF)
AHLI JAWATANKUASA HAK ASASI MANUSIA, MAJLIS PEGUAM MALAYSIA.
AHLI MAJLIS PRESIDEN PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA.

Saturday 28 July 2012

Wednesday 11 July 2012

Pengenalan


BLOG ini di tubuhkan untuk membolehkan rakyat Malaysia yang berstatus OKU (Orang Kurang Upaya) mengemukakan masalah, cerita suka duka, cabaran, kejayaan hidup, kesukaran, tuntutan hak OKU dan sebagainya untuk dijadikan satu cakna untuk OKU mengenengahkan ISU.

Segala pertanyaan atau artikel, bolehlah di hantar ke alamat email ;


mfcy76@gmail.com
@
omar02_abdul_aziz@yahoo.com.my

Terima kasih atas segalanya

ADMIN