Thursday 2 August 2012

KENYATAAN MEDIA - 14 Ramadhan 1433H, 2 Ogos 2012.

Tarikh: 14 Ramadhan 1433H, 2 Ogos 2012.

KENYATAAN MEDIA

Saya amat cakna kepada isu yang dibabitkan kepada OKU terutamanya OKU penglihatan dalam Kempen Henti Memberi kami Prihatin yang dilancarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebagai mewakili warga Negara yang dikatagorikan sebagai OKU umumnya dan OKU penglihatan khususnya, saya membantah cara dan pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menangani penguatkuasaan Akta Orang Papa 1977 dengan penahanan individu-individu OKU penglihatan di Kuala Lumpur pada hari ini, Khamis 2 Ogos 2012.

Saya menyatakan bahawa golongan OKU penglihatan yang menjalani aktiviti menjaja bebas yang didakwa sebagai pengemis telah diberi salah tanggapan melalui kempen yang dijalankan dan penguatkuasaan Akta Orang Papa 1977.

Saya menyeru seluruh pihak termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, jentera-jentera kerajaan, pihak swasta dan seluruh masyarakat untuk benar-benar faham apa yang dinyatakan dalam muqadimah Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang diperturunkan di bawah:

- MENGIKTIRAF bahawa ketidakupayaan merupakan suatu konsep yang sentiasa berkembang dan bahawa ketidakupayaan terhasil daripada interaksi antara rang kurang upaya dengan halangan sikap dan persekitaran yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan dengan orang upaya:

- MENGIKTIRAF sumbangan sedia ada dan berpotensi yang bernilai yang dibuat oleh orang kurang upaya kepada kesejahteraan dan kepelbagaian komuniti dan masyarakat keseluruhannya:

- MENGIKTIRAF kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan, kepada kesihatan dan pendidikan serta kepada maklumat dan komunikasi, bagi membolehkan penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:

- MENGIKTIRAF bahawa orang kurang upaya adalah berhak kepada peluang dan perlindungan, serta bantuan sama rata dalam segala hal keadaan dan tertakluk hanya kepada apa-apa batasan, sekatan dan perlindungan hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan: Undang-Undang Malaysia AKTA 685

- MENGIKTIRAF kepentingan kerjasama antara Kerajaan dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan penyertaan dan penglibatan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalarn masyarakat:

Saya seterusnya menggesa untuk peruntukan berkaitan pekerjaan dan perniagaan diberi perhatian Sirius oleh semua pihak yang Saya perturunkan di bawah:

Akses kepada pekerjaan

Seksyen 29. (1) Orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya.

(4) Majlis hendaklah, bagi menggalakkan pengambilan kerja orang kurang upaya dalam sektor swasta, merumuskan dasar dan langkah yang sesuai yang boleh termasuk program tindakan afirmatif dan langkah lain.

(5) Majlis hendaklah menggalakkan peluang bagi latihan kepada orang kurang upaya dalam pasaran buruh dan juga peluang untuk bekerja sendiri, keusahawanan, pembangunan koperasi, memulakan perniagaan sendiri dan mewujudkan peluang bekerja dan rumah.

Justeru Saya menyeru langkah-langkah berikut diambil perhatian:

i) Suatu jaminan untuk OKU penglihatan yang menjalani aktiviti penjaja bebas diberi peluang pekerjaan atau perniagaan yang mampu menyara kehidupan sehari-harian.
ii)Suatu perancangan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh dimulakan untuk dilaksanakan.
ii) Telah tiba masanya pembangunan OKU kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana menteri supaya program yang dirancang tidak terputus dan salin melengkapi.

Saya juga menegaskan bahawa saya amat menyokong langkah kerajaan dalam membasmi kegiatan pengemisan sebenar yang begitu berleluasa di kalangan pendatang-pendatang asing sama ada secara sah atau sebaliknya. Peruntukan Akta Orang Papa 1977 tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya terhadap OKU umumnya dan OKU penglihatan khususnya dengan alas an penguatkuasaan.

(MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF)
AHLI JAWATANKUASA HAK ASASI MANUSIA, MAJLIS PEGUAM MALAYSIA.
AHLI MAJLIS PRESIDEN PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA.