Tuesday 8 January 2013

Dari Sekretariat Prihatin OKU

 “OKU Perlu Menyertai HKR 12 Januari 2013”

 

KONVENSYEN Antarabangsa Bagi Orang Kurang Upaya (CRPD) melalui Artikel 12 jelas menyatakan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah berhak kepada layanan yang samarata di sisi undang-undang. Artikel 12 CRPD adalah antara artikel yang telah diratifikasikan dan diperakui oleh kerajaan Malaysia pada Julai 2010 yang lalu.

 

Perlembagaan Persekutuan melalui artikel-artikel 5, dan 8jelas memperuntukkan keadilan kepada seluruh rakyat. Artikel 10 pula secara khusus mengiktiraf hak rakyat Malaysia untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

 

Akta OKU 2008 melalui muqaddimahnya telah menjelaskan hak-hak OKU yang diiktiraf oleh undang-undang dan hanya tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

 

Dengan penjelasan pengisytiharan di peringkat antarabangsa dan domestic, Sekretariat Prihatin OKU mendokong sepenuhnya hak-hak rakyat terutamanya OKU untuk melontarkan pandangan dan menyatakan pendirian untuk didengari oleh pucuk pimpinan politik dan Negara.

 

Dalam ambang Pilihan Raya Umum ke-13 yang mana bila-bila saja akan diadakan, ini adalah masa terbaik untuk kita memulakan langkah kea rah perencanaan dan perlaksanaan pembangunan OKU yang lebih baik pada masa hadapan.

 

Himpunan Kebangkitan Rakyat HKR yang dijadualkan pada sabtu ini iaitu 12 Januari 2013 di Kuala Lumpur merupakan satu lagi medan terbaik untuk setiap OKU, keluarga dan mereka yang penuh faham serta prihatin kepada OKU di Malaysia untuk sama-sama turun menyatakan pandangan dan pendirian. Apatah lagi himpunan rakyat kali ini akan turut disertai secara rasmi oleh pihak secretariat.

 

Perlulah difahami, turunnya kita menyertai himpunan sejuta rakyat bukanlah sekadar dikatakan menyokong Pakatan Rakyat atau parti-parti komponennya. Lebih dari itu, ia adalah satu wadah untuk seluruh OKU dan mereka yang prihatin menyerlahkan isu-isu yang selama ini kurang didedahkan kepada pengetahuan awam.

 

Tiba masanya untuk seluruh OKU keluar menyatakan pendirian yang selama ini sekadar didengari oleh mereka yang senasib tanpa disedari oleh pimpinan utama dan masyarakat umum. Saya menyeru untuk seluruh warga OKU dari pelbagai katagori untuk berani turun kerana kitalah penentu masa depan kita sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan dan undang-undang Negara.

 

Sebarang maklumat untuk penyelarasan bolehlah diemailkan ke pusatrakyatcp@gmail.com atau hubungi saudara Sahmar Saad di talian  013-6968618. – 23 Safar 1434H.

 

(Mohammad Faizal Che Yusof)

(Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU)

(Ko-ordinator Pusat Rakyat Cakna Prihatin)