Sunday 23 June 2013

Kenyataan media OKU Bangkit 2012

15 Sya’ban 1434H, 24 Jun  2013.

 

Kenyataan Media

 

KAMI menyeru untuk semua pihak cakna dengan satu laporan Harian Metro bertajuk “Menjerit goncang pintu” yang disiarkan pada 22 Jun 2013 di mana seorang OKU mental terkorban dalam kebakaran kerana terkurung.

 

Memetik dari laporan tersebut, saksi kejadian menyebut  “Saya sempat mendengar mangsa menjerit meminta tolong sambil menggoncang pintu utama, malangnya disebabkan api terlalu besar selain letupan kuat kedengaran, kami hanya mampu melihat sebelum jeritan itu hilang,”.

 

Sebagaimana dilaporkan, dalam kejadian jam 8 pagi tersebut, mangsa Abdul Rais Hanapi, 25, ditemui rentung dalam sebuah bilik dipercayai terperangkap berikutan pintu rumah dikunci daripada luar.

 

Dalam situasi ini, kejadian OKU dikurung sama ada katagori mental atau lain-lain katagori bukanlah perkara baru. Selain OKU itu dikatakan sukar untuk dikawal kerana keluarga keluar berkerja, ada juga OKU yang berada dalam kediaman terkunci atas pelbagai factor yang jarang diambil cakna.

 

Sebagai pihak yang mewakili OKU, kami cukup faham dengan pelbagai situasi yang menyelebungi OKU dan keluarga hingga menyebabkan OKU diletakkan dalam keadaan kediaman yang dikunci.

 

Dalam situasi ini, telah tiba masanya untuk pihak berwajib memikirkan suatu perkhidmatan berasaskan kediaman “home-base services” kepada keluarga-keluarga yang mempunyai ahli keluarga OKU yang selama ini perlu berada dalam rumah yang dikunci.

 

Kealpaan kita dalam menanangani situasi sebegini pada masa-masa hadapan hanya mendedahkan individu-individu OKU dalam bahaya sebagaimana kejadian yang dilaporkan. Tentunya, tanggungjawab berat ini tidak boleh hanya diletakkan atas bahu Jabatan Kebajikan Masyarakat “JKM” sepertimana tanggapan kebanyakan pihak.

 

Sekian, untuk siaran.

 

 

(Mohammad Faizal Che Yusof)

Ketua Penggerak

OKU Bangkit 2012

Wednesday 12 June 2013

Kaji balik kes OKU Jayson Pua - PAS

Kaji balik kes OKU Jayson Pua - PAS

 

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Kementerian Pelajaran mengkaji balik kes permohonan seorang ibu, Goh Eng Booy, 52, apabila permohonan untuk memasukkan anak lelakinya, Jayson Pua, 18, ke program matrikulasi gagal.

 

Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU PAS, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) berkata, rayuan ibu ini sebanyak dua kali ditolak bukanlah cerita baru di negara ini.

 

Sinar Harian pada 10 Jun 2013 melaporkan berita bertajuk “Kesal anak OKU cemerlang SPM gagal ke matrikulasi”, yang melaporkan kesah sedia keluarga ini.

 

"Kami menggesa untuk pihak-pihak terbabit dalam Kementerian Pendidikan memberi perhatian khusus kes-kes seumpama ini," kata Faizal dalam kenyataannya.

 

Dalam SPM 2012 lalu, Pua yang terpaksa berkerusi roda kerana mengalami masalah lemah keseluruhan badan (duchenne muscular dystrophy) (DMD) sejak berumur enam tahun memperoleh 6A 5B.

 

Sehubungan dengan itu, Faizal menggesa untuk perhatian khusus diberikan oleh pihak kerajaan dalam kes-kes yang membabitkan OKU atas dasar-dasar berikut:

 

1. Sepertimana yang diperuntukkan oleh Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) dalam Artikel 24, akses kepada pendidikan adalah menjadi hak kepada setiap OKU tanpa boleh ada diskriminasi.

 

2. Seksyen 28 Akta OKU 2008 mengesahkan pemakaian artikel 24 CRPD di peringkat nasional iaitu hak kepada pendidikan kepada individu OKU sebagaimana diterimapakai di peringkat antarabangsa.

 

3. Akta OKU 2008 juga dalam muqadimah telah memberi satu penegasan bahawa perlunya pengiktirafan kepada potensi dan keperluan individu OKU bagi memastikan keupayaan sebenar individu tersebut dapat digilap.

 

Justeru, katanya, setiap anak-anak OKU perlulah diberi ruang yang seadilnya oleh pihak kerajaan bagi memastikan pendidikan yang sehabis sempurna dapat diberikan bagi memastikan potensi diri anak tersebut dapat digarap kerana Allah menciptakan manusia itu dengan kelebihan yang tersendiri.

 

Pelu diinsafi juga, katanya, pencapaian yang dicapai oleh anak-anak OKU sebagaimana berjayanya Pua tentunya hasil dari usaha luar biasa beliau sendiri dan kedua ibu bapanya.

 

"Harus diingat, kelengahan pihak kerajaan menangani kes-kes yang seumpama ini dalam menyediakan akses pendidikan kepada setiap individu OKU yang pelbagai katagori hanya akan membunuh potensi-potensi lebih ramai individu OKU di Negara ini pada masa hadapan," tegas Faizal seorang peguam walaupun mempunyai masalah penglihatan.

Wednesday 5 June 2013

Kenyataan media Sekretariat Prihatin OKU

27 Rajab  1434H, 6 Jun  2013.

 

SEKRETARIAT PRIHATIN OKU

LUJNAH KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN

PARTI ISLAM SEMALAYSIA.

 

Kenyataan Media

 

KAMI mengalu-alukan perlantikan anggota-anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yang baru di mana salah seorang adalah terdiri dari seorang Orang Kurang Upaya.

 

Selain Tan Sri Hasmy Agam yang telah dilantik semula sebagai anggota Suhakam sesi 2013-16, Francis Johen anak Adam yang juga seorang OKU anggota lulusan undang-undang telah dilantik sebagai anggota Suhakam yang baru.

 

Sebagai mewakili suara OKU, kami menaruh harapan agar perlantikan beliau sebagai anggota Suhakam akan menyemarakkan lagi usaha memperkasa potensi diri OKU dan meningkatkan kesedaran semua pihak kepada kebolehan dan keperluan OKU di Negara ini.

 

Perkembangan ini adalah satu menifestasi betapa suara-suara OKU kian mendapat tempat dalam masyarakat meskipun masih banyak usaha advokasi yang perlu dilakukan.

 

Seluruh penggiat OKU perlu terus berpadu dan berusaha bagi memastikan potensi diri setiap OKU dapat digilap sebagaimana setiap insan ciptaan Allah Yang Dijadikan dengan kemuliaan yang tersendiri.

 

Sekian, untuk siaran.

 

 

(Mohammad Faizal Che Yusof)

Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU