Friday 7 September 2012

Hasihin terlepas skim imbuhan tetap - KENYATAAN MEDIA



Tarikh: 20 Syawal 1433H, 7 September 2012.

KENYATAAN MEDIA

Ekoran dari respon oleh Yang Berhormat Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berikutan desakan agar layanan samarata diberikan kepada atlet paralimpik,selaku mewakili seluruh Orang Kurang Upaya “OKU” umumnya dan atlet-atlet paralimpik Negara khususnya, adalah saya dengan ini menyatakan sebagaimana berikut:

Kenyataan YB Menteri tersebut telah begitu mengguris hati OKU di Negara ini dengan kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik. Diperturunkan kenyataan beliau yang pada pandangan kami dibuat secara tidak berhati-hati yang telah dimuatkan di pelbagai media massa hari ini:

"Perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan," tambahnya.

Kata-kata YB Menteri tersebut selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa, ia sekaligus memperkecilkan sumbangan yang diberikan oleh atlet-atlet paralimpik Negara.

Pihak kerajaan dan YB Menteri tentunya sedar sukan paralimpik adalah sukan terbesar dunia yang melibatkan Orang Kurang Upaya dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.



Penyertaan atlet-atlet dari Malaysia tentu sekali membawa nama Negara apatah lagi bila kemenangan telah diraih, pingat telah dibawa pulang.

Akta Orang Kurang Upaya 2008 secara jelas mengiktiraf potensi dan sumbangan OKU dalam Negara. Selain itu, kesamarataan kepada OKU sebagai warga Negara adalah juga diiktiraf oleh Akta 2008 tersebut.

Layanan yang berbeza kepada atlet-atlet paralimpik adalah jelas suatu perlanggaran kepada penguatkuasaan Akta 2008 sekaligus suatu diskriminasi terhadap OKU.
Justeru, selaku wakil kepada OKU umumnya dan atlet-atlet paralimpik khususnya, saya menggesa untuk pihak YB Menteri dan kerajaan Malaysia mengkaji sehalus-halusnya layanan yang seharusnya diberikan kepada atlet-atlet paralimpik agar ia sama dengan atlet-atlet olimpik Negara.

Persoalan saiz kedua-dua sukan tersebut tidak sepatutnya timbul disebabkan atlet-atlet paralimpik dengan kecacatan yang ada masih mampu bersaing di peringkat antarabangsa hingga mampu membawa pulang ingat untuk Negara.

Kejayaan membawa pingat perak bukanlah mudah. Tentunya ia diraih setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan.

Saya penuh percaya bahawa keprihatinan kerajaan tentunya mampu untuk layanan yang adil dan saksama diberikan kepada atlet paralimpik yang telah meletakkan Malaysia di peta dunia dalam arena sukan sedunia.

Pengiktirafan kerajaan dalam sukan kepada OKU tentunya akan membuka ruang kepada tanggapan yang lebih baik terhadap OKU oleh masyarakat seluruhnya.




(MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF)
Ahli Majlis Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia.
Pengerusi Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan.





KENYATAAN YANG TERSIAR SEPERTI BERIKUT ;

Hasihin terlepas skim imbuhan tetap
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my
         

KEJAYAAN besar Hasihin Sanawi meraih pingat perak pada temasya Sukan Paralimpik di London baru-baru ini belum cukup ‘membuka hati’ Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi ganjaran skim imbuhan tetap atau pencen seperti dinikmati atlet normal pada temasya Olimpik.

Hasihin mencipta sejarah merangkul perak menerusi acara recurve individu lelaki berkerusi roda W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, Isnin lalu selepas tewas kepada Oscar de Pellegrin dari Itali sekali gus menyumbang perak pertama untuk negara selepas 20 tahun.


Atlet berusia 29 tahun itu mungkin boleh mengukir senyuman bakal meraih ganjaran berjumlah RM200,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), namun dia tidak akan meraih pencen seperti diraih atlet normal pada Sukan Olimpik.

“Saya harap kita semua faham mengenai perbezaan tahap kompetitif antara acara yang disertai atlet normal serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU). “Sebagai contoh, acara lari pecut 100 meter, terdapat banyak kategori bagi atlet OKU berbanding atlet normal.


“Kita perlu lihat tahap kesukaran mereka untuk meraih pingat. Pencen setakat ini tidak ada (untuk atlet OKU),” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ditemui pada majlis rumah terbuka KBS semalam.


Beliau bagaimanapun memberi jaminan, Hasihin bakal menikmati lebih banyak ganjaran selain hadiah Shakam yang sudah pasti bakal menantinya.

“Sebenarnya, di negara ini apa yang mereka peroleh tidak banyak bezanya berbanding atlet normal kerana atlet OKU juga menerima elaun bulanan apabila menjalani latihan, malah pihak kerajaan juga membina banyak kemudahan sukan untuk mereka.


“Jika dibandingkan dengan negara lain, atlet OKU kita sudah cukup bertuah,” katanya.

Menerusi hadiah Shakam untuk atlet normal yang beraksi pada pentas Olimpik, mereka akan meraih RM1 juta andai meraih pingat emas, RM300,000 bagi perak dan RM100,000 untuk gangsa.


Sementara atlet paralimpik bakal menerima ganjaran RM300,000 untuk emas, RM200,000 (perak) dan RM100,000 untuk gangsa.


Selain meraih ganjaran hadiah Shakam, atlet normal juga menerima Skim Imbuhan Tetap Sukan Olimpik atau pencen andai memenangi pingat di Sukan Olimpik yang akan diberikan setiap bulan untuk sepanjang hayat dengan pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 untuk pemenang pingat gangsa.


Malaysia pernah memenangi satu perak dan empat gangsa dalam tiga temasya Sukan Paralimpik sejak Seoul 1988. Di Beijing empat tahun lalu, kontinjen negara hanya pulang dengan satu gangsa menerusi Siow Lee Chan dalam acara powerlifting.


Perak tunggal sebelum ini dilakar Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting di Barcelona pada 1992.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06

sumber

No comments:

Post a Comment