Monday 31 December 2012

Perutusan 2013

18 Safar 1434H, 1 Januari 2013.

 

PERUTUSAN TAHUN 2013

 

 

BERAKHIRNYA 2012 memberi kesan amat siknifikan kepada perjuangan meletakkan agenda OKU sebagai agenda yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan masyarakat termasuklah pimpinan politik.

 

Di peringkat antarabangsa, penghujung 2012 genaplah 6 tahun Konvensyen Bagi Hak-Hak Orang Kurang Upaya “CRPD” diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu “PBB”. Manakala di peringkat domestic pula, penghujung 2012 juga menggenapkan 5 tahun Akta OKU 2008 dibentang dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia.

 

Terhasilnya CRPD di peringkat antarabangsa dan Akta 2008 di tanah air adalah suatu komitmen system perundangan global kepada corak pembangunan OKU yang berganjak dari pembangunan berasaskan simpati dan kesihatan kepada pembangunan yang berasaskan hak.

 

Secara atas kertas dan ucapan, pembangunan OKU berasaskan hak mudah difahami dan dimengertikan. Namun tiba waktu perlaksanaan, ia penuh liku dan cabaran yang tidak mudah didepani.

 

Kesediaan seluruh agensi kerajaan sebagai pemacu utama kepada kesejahteraan rakyat menterjemahkan aspirasi hak pembangunan kepada OKU masih meletakkan individu-individu OKU ternanti-nanti apakah yang dapat kami rasai. Lihat saja pada agensi utama yang dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan OKU di Malaysia iaini Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia “JKMM”.

 

Meskipun JKMM dibantu secara pentadbiran oleh Jabatan Pembangunan OKU “JPOKU” di dalamnya, masih melata rintihan-rintihan OKU atau keluarga yang menjaga terhadap keberkesanan system penyerahan yang dilaksanakan oleh JKMM. Pujian boleh dipanjangkan kepada pejabat-pejabat JKMM negeri-negeri dalam menangani isu-isu OKU. Namun ia jarang sekali berlaku di peringkat daerah.

 

Walhal pejabat daerah merupakan tempat utama yang perlu didatangi OKU bagi melunaskan sebarang isu dan persoalan yang berkaitan. Contoh terkini ialah pengeluaran kad OKU yang baru.

 

Jika 3 Disember 2012 kerajaan telah mengisytiharkan perlaksanaan Sistem Maklumat OKU “SMOKU”, apakah seluruh pegawai terlibat faham pentingnya SMOKU bilamana pengeluaran kad OKU yang baru masih banyak yang belum diselesaikan?

 

Tiadanya kad OKU antara lainnya telah menjejaskan banyak urusan OKU dan keluarga terutamanya dalam usaha mendapatkan pendidikan yang paling asas.

 

Justeru selaku wakil kepada 4.2 juta jumlah OKU yang dianggarkan di Malaysia, saya benar-benar berharap agar 2013 menjadi titik perubahan yang lebih besar kepada pembangunan OKU yang menyeluruh di Malaysia. Kepada seluruh jentera kerajaan, saya merayu dan berharap agar tanganilah setiap isu melibatkan OKU dengan penuh rasa keinsafan bahawa kecacatan pada OKU adalah ciptaan Allah yang maha esa.

 

Mahu tidak mahu, kerajaan adalah nadi utama dalam menghasilkan kehidupan sejahtera untuk benar-benar dirasai oleh OKU dan keluarga. – 18 Safar 1434H.

 

(Mohammad Faizal Che Yusof)

No comments:

Post a Comment